Panduan Solat: Bagaimanakah Solat Berkualiti?

Dalam artikel ini kami akan membicarakan soal solat berkualiti. Bagaimana untuk kita meraih solat yang berkualiti dalam menunaikan ibadah yang penting dalam Islam ini. Jom Baca!

solat berkualiti malaysiaindah 2

Apakah Maksud Solat?

Solat lima waktu adalah pengabdian seseorang hamba kepada Tuhan Maha Pencipta. Firman Allah bermaksud, “Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

Namun, kita dapat lihat ada mereka yang solat, tetapi masih bergelumang dengan maksiat. Melakukan dosa berterusan meskipun individu itu mendirikan solat seolah-olah tampak tidak seiring dengan firman Allah seperti di atas.

Bukan salah Allah taala atau salah firmanNya. Apa yang sebenarnya tidak kena ialah kualiti solat insan.

Oleh itu, kita wajib nilai sendiri kualiti solat masing-masing. Adakah ia benar-benar berkualiti dan menepati maksud solat sebenar? Adakah solat kita menepati maksud solat yang dapat menjadi benteng ampuh daripada perbuatan keji dan mungkar?

Apakah Maksud Solat Berkualiti?

Solat berkualiti ialah solat yang bukan hanya dilihat menerusi gerak-geri tubuh atau ayat dan kalimah yang menghiasi bibir.

Namun, solat itu sepatutnya turut menyerap masuk jauh ke dalam sanubari dan minda menerusi setiap gerak fizikal serta bacaan.

Mencapai tahap kekhusyukan para nabi dan anbiya bukanlah sesuatu yang mampu bagi kita.

Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang dapat kita lakukan bagi mencapai tahap kualiti solat yang tinggi, termasuklah:

1. Jaga Kebersihan Diri, Pakaian dan Tempat Solat.

Jaga tahap kebersihan diri, pakaian dan tempat solat daripada hadas kecil dan hadas besar. Keadaan berhadas akan menyebabkan gangguan syaitan ketika solat, malah menjadikan solat tidak sah.

2. Wuduk Sempurna

Wuduk adalah syarat sah solat. Wuduk sempurna adalah permulaan solat yang berkualiti. Wuduk sempurna mestilah meratakan air ke seluruh anggota wuduk dimulai niat dan disudahi tertib.

3. Ta’awwuz

Ta’awwuz, iaitu lafaz “A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim” ialah satu cara memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan. Ucapkanlah kalimah ta’awwuz ini semoga kita dijauhi gangguan syaitan.

4. Mempelajari Solat Lebih Mendalam

Mempelajari rukun solat, syarat sah solat, cara bacaan dan sebagainya adalah sangat penting dalam meningkatkan kualiti solat. Solat yang tertib, tersusun dan tumakninah akan mendatangkan kekhusyukan dengan sendirinya.

5. Memahami Maksud Bacaan

Memahami maksud bacaan dalam solat akan menambahkan kekhusyukan. Ini kerana fikiran kita hanya tertumpu sepenuhnya pada solat, bukan urusan duniawi, apabila minda tertumpu pada maksud setiap kalimah yang dibaca.

Cermin Solat Berkualiti

Kualiti solat seseorang dapat dilihat menerusi perwatakan dan pembawakan dirinya di luar solat. Jika seseorang itu khusyuk dan merendah diri di hadapan Allah di dalam solat, mustahil dia menjadi seorang yang sombong di luar solat.

Seseorang yang menjadikan solat sebagai ruang bicara dan komunikasinya dengan Allah sudah tentu akan meletakkan seluruh hidupnya dalam tangan Allah.

Justeru, sudah tentu kualiti solat sangat penting dan akan menepati maksud firman Allah bahawa ibadat itu dapat menghindarkan perbuatan keji serta mungkar!

Baca juga:

Tags: