5 Teknik Berkesan Pujuk Anak Solat

Anak malas solat? Ini teknik berkesan pujuk anak solat.

pujuk-anak-solat-malaysiaindah.com 1

Iman bukan sesuatu yang boleh diwarisi. Tiada perkara yang patut paling menyedihkan bagi ibubapa Muslim melainkan melihat anak-anak culas dalam hal-hal berkaitan agama, terutama solat.

Cara Pujuk Anak Solat

Bagaimana anda patut menangani jika ini terjadi di dalam keluarga anda?

1. Minda separa sedar anak

Pernah dengar mengenai minda separa sedar atau minda bawah sedar? Minda bawah sedar terjadi apabila seseorang itu dalam keadaan hampir tidur.

Pada saat itu, jiwa pemberontakan anak-anak akan menurun. Saat ini adalah tempoh sesuai untuk ibubapa menasihati anak-anak. Ucapkan kata-kata yang baik dan nyatakan harapan kita untuk melihat mereka bersolat.

2. Ajakan, bukan arahan

Kerapkali dalam masyarakat, kita salah dalam menggunakan kuasa veto sebagai ibubapa. Kita kerap mengarah dan menyuruh. Ajakan lemah-lembut dan melakukan aktiviti bersama akan menyebabkan anak lebih cenderung turut serta.

Juga, elakkan kata-kata kutukan dan kejian. Sebaliknya, selalu gunakan panggilan yang baik dan murni. Kata-kata adalah juga satu doa.

3. Mendoakan anak

Pemberi hidayah dan pemegang mutlak hati adalah Allah. Ibubapa wajib yakin dengan itu.

Dan, yakinlah juga bahawa “tiada tangan yang menadah akan pulang dengan tangan kosong”. Doakan ketika anak-anak berada dekat dengan kita.

Gunakan kata-kata indah seperti “Anak aku ini ya Allah adalah anak soleh, cuma lalai sedikit dalam solat, maka lembutkanlah hatinya untuk menunaikan solat kepadaMu”.

4. Menanam kesedaran

Selalu memberi peringatan kepada anak dengan cara berhikmah bahawa mereka adalah saham akhirat. Jika mereka culas dalam solat atau amal kebajikan lain, anda sebagai ibubapa akan dipersoalkan.

Tanam rasa belas mereka terhadap anda sebagai ibubapa. Fitrah anak itu lembut. Mereka tidak akan mahu menjadi penyebab perkara buruk berlaku terhadap ibubapa.

5. Lazimi solat tahajud

Ibubapa sendiri perlu rajin melazimi solat tahajud. Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran. Ini pernah diungkapkan oleh Imam as-Syafi’ ra sendiri. Justeru, bertahajudlah demi kesejahteraan anak-anak.

Teknik atau usaha yang kita lakukan hanyalah sekadar ikhtiar. Manusia adalah lemah. Justeru, setelah berusaha, banyakkan doa dan bertawakal. Hidayah itu milik mutlak Allah.

Allah berfirman di dalam Surah al-Qasas, ayat 56 bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk”.

Baca juga:

Tags:,