5 Cara Berkesan Latih Anak Solat Jemaah
Umum mengetahui ganjaran solat berjemaah adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Pun begitu, agak sukar untuk kita latih anak solat jemaah sama ada di rumah atau di masjid.

Bagaimana Nak Latih Anak Solat Jemaah?
Bagaimanakah cara membetulkan keadaan ini? Bagaimana supaya anak-anak suka melakukan solat jemaah?
Berikut ialah antara langkah yang boleh diterapkan.
ISI KANDUNGAN (klik untuk senarai)
1. Hidupkan Solat Jemaah di Rumah
Meskipun tidak mampu solat berjemaah lima waktu sehari semalam, biasakan solat berjemaah di rumah sekurang-kurangnya untuk Subuh, Maghrib dan Isyak.
2. Biasakan Anak-anak dengan Iqamah
Biasakan anak-anak dengan laungan azan dan iqamah supaya mereka rasa bertanggungjawab dengan aktiviti solat berjemaah di rumah.
Ini akan menjadikan bukan hanya menunggu untuk solat, tetapi solat berjemaah. Jika ibubapa mempunyai anak lelaki lebih daripada seorang, buatkan jadual giliran.
3. Hidupkan Suasana Usrah dan Ta’lim
Usrah yang membawa maksud “keluarga” adalah sistem bulatan kecil yang semua ahli keluarga dapat berbincang atau berkongsi ilmu sama ada topik agama, hal
ehwal semasa atau hanya duduk mendengar kisah-kisah harian yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga itu sendiri.
Ini boleh dilakukan di antara waktu Maghrib dan Isyak. Ini akan menguatkan rasa kasih sayang dan menyebabkan mereka seronok untuk melakukan aktiviti solat berjemaah.
4. Membawa Anak-anak ke Masjid
Membiasakan mereka dengan masjid mampu menyemai rasa suka kepada solat berjemaah. Anak-anak yang diberikan pendedahan sebegini biasanya akan mencintai solat berjemaah kerana dapat merasakan suasana tenang dan seronok ketika solat di masjid.
5. Masjid Mesra Kanak-kanak
Masyarakat patut membuang paradigma lama konon masjid hanya tempat untuk golongan dewasa.
Bagi memupuk rasa cinta dan seronok solat berjemaah di kalangan generasi muda, pentadbir dan jawatankuasa masjid perlu menjadikan masjid tempat mesra kanak-kanak.
Kanak-kanak patut diraikan selaras dengan fitrah usia mereka menerusi aktiviti berfaedah dan menyeronokkan dengan pengawasan minimum.
Kesimpulan
Solat jemaah bukan sahaja dapat tingkatkan darjat, malah mampu menjadikan seseorang itu bijak bergaul dalam masyarakat.
Ini sekali gus menjadikan individu berkenaan tidak anti-sosial serta dapat berfungsi secara berkesan di dalam masyarakat serta terhindar daripada perkara negatif. Justeru, asuhlah anak-anak agar rajin solat jemaah!
Baca juga: