5 Panduan Merangsang Anak Rajin Solat

Memberikan panduan solat kepada anak-anak agar mereka dapat belajar solat secara betul adalah amat penting pada peringkat awal usia. Lebih daripada itu, ibubapa juga patut tahu bagaimana merangsang agar anak rajin solat lima waktu.

5-Panduan-Merangsang-Anak-Rajin-Solati-malaysiaindah-2

Rajin dan tidak lengah mengerjakan solat lima waktu mampu melahirkan jati diri anak yang teguh serta tidak mudah goyah walaupun dikelilingi dakyah atau anasir jahat yang mampu meruntuhkan akhlak mereka.

Bagaimana Merangsang Agar Anak Rajin Solat?

1. Sediakan Pakaian Solat Cantik

Fitrah manusia suka kecantikan. Justeru, ajar anak berwangian dan berikan pakaian terbaik serta menarik sebelum mereka menunaikan solat lima waktu. Getaran positif dan ceria ini akan merangsang otak anak lebih peka terhadap solat.

2. Beri Pujian

Anggaplah anak sebagai ‘orang dewasa yang masih kecil’. Sebagaimana orang dewasa yang inginkan penghargaan atas setiap perlakuan baik, begitulah halnya dengan anak-anak. Pujian seperti “bagusnya anak Umi solat”, “rajinnya anak Umi solat” mampu merangsang otak mereka kekal melakukan kebaikan, termasuklah mengerjakan solat lima waktu.

3. Bagi Hadiah

Tidak cukup dengan penghargaan lisan, mungkin pemberian hadiah dapat menjadi ransangan kepada anak-anak. Hadiah tidak perlu mahal. Mungkin hanya hadiah telekung baharu, buku ilmiah atau membawa mereka keluar makan di luar sebagai tanda bangga dan terimakasih ibubapa atas tingkahlaku anak menjaga solat.

4. Bagi Peluang Jadi Imam

Sekali-sekala berikan mereka peluang menjadi imam atau muadzin secara berperingkat. Ini dapat menjadi serampang dua mata. Pertama, anak-anak akan seronok kerana berasa mereka diberikan kepercayaan besar. Kedua, dapat mendisiplinkan mereka dengan tatacara solat betul.

5. Ceritakan Nikmat

Sentiasa beri pendedahan terhadap nikmat syurga yang dijanjikan Allah untuk sesiapa yang menjaga solat. Kaedah penceritaan santai sambil menggambarkan syurga tidak pernah dinikmati di dunia, dapat meransang mereka.

Anak-anak mempunyai daya rangsangan yang sangat tinggi. Justeru, ibubapa perlu banyak membaca mengenai cara merangsang anak, terutama dalam mengerjakan solat lima waktu.

Baca juga:

Tags:,